Selangor sudah bersedia untuk mengheret Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sehingga ke penentuan sepakan penalti jika perlu, menjelang perlawanan akhir kedua Piala Belia Persatuan Bala Sepak Malaysia (FAM) esok di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Ketinggalan 1-0 secara defisit hasil jaringan pemain SSBJ, Nurfaiz Johari, tidak mematahkan semangat kem Selangor. Ini kerana mereka percaya kemampuan mereka untuk mengatasi keputusan itu, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

"Kami sudah memperbaiki beberapa kepincangan. Kami dah membuat rombakan kecil, Insya-Allah mereka akan mencapai kemenangan dan mempertahankan kejuaraan," tekad jruulatih belia Selangor, Rozaidi Rohmat.

Di kem SSBJ, mereka sudah mula memasang impian untuk dinobatkan juara Piala Belia FAM yang baru.

Berdasarkan persembahan pada perlawanan akhir pertama, pengendali SSBJ, Reduan Abdullah, yakin anak buahnya mampu mengulangi aksi sama kerana kelebihan kini berpihak kepada mereka.

"Para pemain sudah tentu mahu mengakhiri karier (di peringkat remaja) dengan berjaya sebelum beralih ke liga yang lebih kompetitif.

"Ini sudah ditanam dalam diri mereka untuk memberikan satu persembahan yang baik pada malam esok," katanya.