Tiada perancangan untuk Gareth Bale kembali menyertai Tottenham Hotspur dalam jendela perpindahan bulan lalu, kata ejennya, Jonathan Barnett, yang yakin penyerang itu tidak akan kembali ke kelab London berkenaan.

Bale menjadi pemain yang dipinggirkan oleh pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, selama beberapa minggu ini dan tidak disenaraikan ketika pasukannnya memenangi perlawanan 'derby' dengan Atletico Madrid hujung minggu lalu.

Ia sehari selepas jendela perpindahan ditutup dan pemain kebangsaan Wales itu masih berada di Santiago Bernabeu walaupun dikaitkan untuk kembali ke Spurs.

Ditanya sama ada skuad kendalian Jose Mourinho itu merupakan pilihan mereka, Barnett bekata kepada talkSPORT: "Tidak. Gareth masih percaya bahawa dia ada masa depan di Real Madrid.

"Dia masih mempunyai dua setengah tahun dalam baki kontraknya.

"Dia mempunyai isteri dan tiga anak yang amat gembira dan selesa.

"Dia boleh memilih di mana dia mahu bermain.

"Dan ayuhlah lebih realistik, buat kebanyakan kelab, mereka tidak mampu untuk mendapatkannnya secara kewangan.

"Senang untuk mereka katakan 'lupakan wang itu dan bermain di tempat lain' tetapi ia bukan selalunya mengenai wang.

"Dia gembira di Madrid, anak-anaknya membesar di sana, keluarganya sudah selesa," katanya.

Ditanya sama ada kepulangan ke Spurs itu mungkin menjadi nyata pada 2022, Barnett menambah: "Saya tidak fikir begitu, tidak.

"Apabila kontraknya hampir tamat, kami akan duduk berbincang dan menentukan apa yang kami mahu."



Editor: Muzaffar Musa