Spezia layak menyertai saingan Serie A musim depan buat kali pertama dalam sejarah kelab itu biarpun tewas 0-1 kepada Frosinone dalam perlawanan kedua pusingan playoff Serie B.

Keputusan di Stadio Alberto Picco itu awal pagi tadi menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat dan Spezia layak ke kejohanan divisyen utama berkenaan berdasarkan kedudukan lebih baik dalam carta liga musim ini.

Ia melengkapkan kebangkitan dramatik kelab itu, yang pernah diisytiharkan muflis selepas disingkirkan daripada sangan Serie B pada 2008 dan kembali pada musim berikutnya dalam saingan divisyen empat selepas diasaskan semula.

Percubaan Andrea Beghetto terkena palang buat Frosinone pada minit ke-12 dan penjaga gol Spezia, Simone Scuffet, melakukan beberapa aksi menyelamat gemilang untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga waktu rehat.

Frosinone menyamakan kedudukan agregat apabila Marcus Rohden melakukan penyudah kemas selepas Andrija Novakovich dan Camillo Ciano memanfaatkan hantaran jauh penjaga gol, Francesco Bardi.

Pasukan pelawat itu cuba mencari gol penyamaan tetapi gagal melakukannya dan Spezia mengekalkan kedudukan itu untuk layak ke Serie A buat kali pertama dalam sejarah.