Pengendali sementara England, Gareth Southgate, berkata dia tidak takut untuk meletakkan kapten, Wayne Rooney, di bangku pemain simpanan ketika berdepan Slovenia.

Pemain berusia 30 tahun itu diejek oleh sebahagian penyokong di Wembley ketika kemenangan 2-0 ke atas Malta.

Southgate turut menjelaskan dia tidak faham mengapa Rooney mendapat layanan sedemikian dan menegaskan dia gembira dengan aksi Rooney yang diturunkan selaku pemain tengah.

Namun, dengan Eric Dier bakal kembali memperkuatkan bahagian tengah bersama Jordan Henderson dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Ljubljana, Southgate menjelaskan dia tidak akan memilih pemain berdasarkan reputasi.

"Saya akan membuat keputusan yang bersesuaian dengan pasukan ini, dan setiap kali pemilihan dibuat, akan ada pemain yang beraksi dalam setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris yang akan memanaskan bangku simpanan," katanya.

"Setiap pemain perlu bersedia menghadapi kenyataan itu."

Rooney tidak diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester United sejak tewas 3-1 kepada Watford pada 18 September lalu, namun Southgate menegaskan pemilihan pemain bukanlah dilakukan berdasarkan prestasi di peringkat kelab.

"Kekurangan masa bermain bersama United tidak relevan," katanya. "Ini kerana hanya 30 peratus daripada pemain dalam Liga Perdana Inggeris layak mewakili England.

"Daripda seramai itu, ada yang tidak mahu bermain, ada yang tidak cukup bagus tetapi di sini kami ada seorang kapten yang terdesak untuk menjadi pemimpin kepada rakan sepasukannya.

"Kerana itulah, dia diturunkan ketika berdepan Malta. Apa yang dia tempuhi di Old Trafford tidak penting.

"Saya sangat berpuas hati dengan aksi Rooney. Dia melakukan tugas dengan baik bermain di posisi yang telah dicadangkan. Dia dan Jordan Henderson bergandingan dengan cukup mantap sepertimana yang kami harapkan.

"Bagaimanapun, Slovenia menghadirkan cabaran berbeza, tambahan pula kami akan beraksi di laman lawan, jadi penting untuk kami mengambil kira semua aspek itu sebelum menyenaraikan kesebelasan utama."