ENGLAND 2 MALTA 0

Pengurus sementara England, Gareth Southgate, tidak faham mengapa penyokong mencemuh kapten pasukan, Wayne Rooney, ketika mereka menewaskan Malta 2-0 di Wembley, awal pagi tadi.


England meraih tiga mata penuh ketika menerima kunjungan Malta dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, dengan gol dijaringkan oleh Daniel Sturridge pada minit ke-29 dan Dele Alli lapan minit kemudian.

Kemenangan England ini meletakkan mereka di persada Kumpulan F dengan enam mata.

Rooney, yang masih gagal mempamerkan aksi terbaik buat musim ini bersama Manchester United mahupun bersama The Three Lions, telah dicemuh oleh penyokong dan ia membuat Southgate bingung.

"Saya mahu Rooney bermain kerana dia pemegang 'kaps' terbanyak untuk England," jelas Southgate.

"Sungguh menakjubkan apabila dapat melihat dunia menerusi pandangannya, setiap perbahasan seolah-olah memberi tumpuan kepada Rooney.

"Namun, kritikan yang dilontarkan kepadanya ada kalanya tidak adil."

Southgate menjelaskan pengaruh Rooney di atas padang masih memainkan peranan yang besar manakala keputusannya meletakkan Rooney di bahagian tengah adalah untuk membenarkan penjaring gol, Alli, beraksi sebagai pemain nombor 10.

"Kami menyedari kami banyak mengawal bola dan mengawal rentak permainan. Saya berpendapat pengalamannya dan cara Rooney mengetuai pasukan merupakan perkara yang penting buat kami."

England bakal bertemu Slovenia pada Rabu.