Pengurus England, Gareth Southgate, menegaskan Jack Wilshere perlu beraksi dengan lebih kerap bersama Arsenal sekiranya mahu tampil mewakili skuad kebangsaan.

Baru-baru ini, Arsene Wenger menyifatkan Wilshere layak untuk kembali menyarung jersi The Three Lions, namun Southgate tidak menamakan pemain itu dalam senarai bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Jerman dan Brazil pada bulan ini.

Southgate juga menjelaskan dia akan menemui Wenger untuk berbincang mengenai peluang pemain tengah itu untuk beraksi pada tahun depan, terutama dalam Piala Dunia 2018.

"Saya tidak tahu bagaimana anda boleh menyarung jersi England tanpa beraksi buat Arsenal.

"Kebolehannya sudah tentu perlu diakui dan dia seorang pemain yang bijak tetapi kami harus menyaksikannya beraksi kerana sebelum ini, dia kerap mengalami kecederaan.

"Saya akan berjumpa Wenger untuk berbincang mengenai Wilshere," katanya.

Southgate juga melakukan kejutan apabila memanggil semula Ashley Young tetapi tidak menyenaraikan rakan sepasukan di Manchester United, Chris Smalling.

"Saya menghormati Smalling dan dia adalah pemain yang beraksi bersama pasukan besar.

"Kami mahu bermain menggunakan beberapa gaya dan pemain yang saya senaraikan dipilih atas faktor cara permainan yang bermula dari bawah.

"Prestasi Young ketika ini memaksa saya memanggilnya. Kami mahu bermain dengan sayap bertahan dan saya rasa dia beraksi cemerlang di posisi itu bersama United," tambah Southgate.