Solskjaer jangka masa depan cerah buat Shoretire selepas cipta sejarah

Oleh Muzaffar Musa 26 Februari 2021 3987
Solskjaer jangka masa depan cerah buat Shoretire selepas cipta sejarah
Ole Gunnar Solskjaer menjangkakan penyokong Manchester United dapat melihat lebih banyak aksi daripada Shola Shoretire selepas pemain berusia 17 tahun itu mencipta sejarah dalam perlawanan menentang Real Sociedad awal pagi tadi.

Shoretire, yang melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior United ketika menewaskan Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, dimasukkan pada 14 minit terakhir ketika pasukannya terikat 0-0 dengan La Real, sekali gus menjadi pemain termuda pernah diturunkan skuad The Red Devils itu di peringkat Eropah -- beraksi pada usia 17 tahun dan 23 hari.

Dia tidak dapat memberikan impak besar dalam perlawanan itu, di mana  United layak ke pusingan 16 Liga Europa hasil kelebihan agregat 4-0, tetapi Solskjaer percaya kelab itu kini memiliki pemain muda berpotensi untuk diketengahkan.

"Shola akan menjadi pemain yang baik buat kami, kata pengurus Manchester United itu dalam sidang media.

"Adakalanya anda perlu menguji mereka berdepan pemain yang bagus dan kita tahu Real Sociedad adalah pasukan yang bagus dan memiliki kemahiran individu, memberikan tekanan. Shola dan Amad (Diallo) perlu didedahkan dengan tahap seperti ini.

"Dia pemain muda yang kami percaya dia mempunyai sikap yang hebat. Anda dapat melihat bentuknya, dia mempunyai fizikal untuk menjadi seorang atlet. Secara teknikalnya, dia amat bagus dan dia melakukan keputusan yang bagus.

"Dia amat peka, dia bekerja keras dalam latihan dan dia seperti seorang pemuda yang kami harap dapat melihat sesuatu yang besar darinya pada masa akan datang," katanya.
 
Mikel Oyarzabal gagal menjaringkan sepakan penalti awal La Real selepas Daniel James mengasari Andoni Gorosabel dalam kawasan itu untuk United melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Europa di Old Trafford kepada 15 perlawanan.

"Solskjaer sedar kepentingan kegagalan itu buat pasukannya -- sepakan penalti pertama gagal dijaringkan di Old Trafford sejak Leighton Baines melalui nasib sama ketika mewakili Everton pada Oktober 2014 -- untuk United kini melepasi pusingan 32 dalam lima edisi kejohanan itu.

"Kami berdepan pasukan yang amat bagus. Mereka memperoleh sepakan penalti awal dan mujur mereka gagal. Kami tidak mahu menamatkan separuh masa dengan ketinggalan satu atau dua gol. Sudah pasti kami lega kerana dapat melaluinya tanpa dibolosi.

"Saya rasa 10-15 minit pertama agak perlahan tetapi kami dapat menunjukkan beberapa permainan yang baik dalam babak pertama. Dalam babak kedua, kami tidak cukup bagus ketika memiliki bola tetapi kami bertahan dengan baik. Ia membuktikan betapa bagusnya kami dalam perlawanan minggu lalu," tambahnya.

United seterusnya akan bertandang ke laman Chelsea bagi perlawanan EPL hujung minggu ini.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen