HUESCA 0 REAL MADRID 1

Santiago Solari kagum dengan 'watak' yang dipamerkan Real Madrid selepas mereka mencatat kemenangan 'buruk' 1-0 ke atas Huesca di tempat lawan, awal pagi tadi.


Gareth Bale memastikan kemenangan milik mereka menerusi tendangan voli, namun perjalanan aksi itu menceritakan yang sebaliknya.

Jaringan itu sekali gus memadam penantian Bale untuk menyumbat gol liga selepas kemarau jaringan selama 802 minit.

Kedua-dua pasukan mengharungi aksi sukar di Aragon, terutama faktor angin yang memberi kesan kepada rentak permainan di El Alcoraz.

Sementara itu, Solari mengakui ia adalah hari yang mencabar sambil berasakan situasi itu menonjolkan kekuatan karakter Madrid.

"Keadaan ini sama buat kedua-dua pasukan tetapi angin telah membuatkan permainan ini menjadi buruk dan ia amat sukar untuk membuat kawalan bola dan hantaran," kata pengurus Madrid itu. "Jika anda menuntut pemain untuk mengikuti arahan anda, ia menjadi kurang tepat kerana faktor itu.

"Saya menekankan karakter kami kerana dalam permainan ini, anda perlu tahu bagaimana untuk menderita dan menang. Kami tidak tahu di mana bola akan jatuh dan kami kurang didedahkan dengan permainan seperti ini.

"Adakalanya tidak ada cara yang lain lagi untuk keluar dari kawasan tertentu. Kadang-kadang anda tidak dapat memilih kawasan yang anda perlu mainkan. Ada beberapa bahagian di mana angin bertiup kencang.

"Itu bukanlah satu-satunya cabaran kami kerana tuan rumah memberi tekanan hebat kepada kami. Kami mampu untuk melebarkan kedudukan, namun kami tidak melakukannya dan kami menderita kerana pasukan lawan memberikan tekanan kepada kami, itulah caranya.

"Memang akan ada perlawanan seperti ini dan untuk mengatasi mereka menguji karakter kami, pasukan ini memiliki pelbagai karakter.

"Mereka telah mengerah segala kudrat (di atas padang) dengan keamatan. Kami menjaringkan gol ketika kami harus melakukannya, kami bertahan dengan baik dan padat.

"Sukar untuk beraksi apabila mereka mendapat sokongan padu penyokong. Itulah karakter yang kami pamerkan."

Kemenangan itu melonjakkan Madrid kembali ke kelompok empat teratas dengan Barcelona, ​​Sevilla dan Atletico Madrid mendahului mereka.

Selepas 15 perlawanan, saingan musim ini seakan-akan bakal menjadi salah satu yang paling terbuka dalam LaLiga abad ini dan Solari berpendapat bahawa itu adalah perkara yang baik.

"Saya gemar bersaing dalam liga di mana segalanya boleh berlaku," katanya. "Sudah lama kita tidak melihat saingan sengit LaLiga seperti ini dan kami akan menikmati semua itu."