REAL MADRID 2 VALENCIA 0

Pengurus Real Madrid, Santiago Solari, berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Isco walaupun pemain perancang Sepanyol itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menewaskan Valencia 2-0 dalam saingan LaLiga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Isco tidak tersenarai dalam barisan pemain yang menewaskan AS Roma dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu.

Dia kemudian hanya diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan menentang Valencia.

Jaringan sendiri daripada Daneil Wass dalam separuh masa pertama memudahkan kemenangan Madrid sebelum Lucas Vazquez memastikan kemenangan itu menerusi jaringan di penghujung perlawanan.

Isco tidak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan itu sejak Solari mengambil alih daripada Julen Lopetegui.

Ia disebabkan dia masih menjalani proses pemulihan daripada pembedahan apendiks yang dilaluinya sebelum ini.

Solari, yang kerap menafikan pertelagahannya dengan Isco, memuji pemain tengah itu walaupun lebih memilih Marcos Llorente dan Dani Ceballos dalam kesebelasan utamanya.

"Dia mampu menjadi penentu ketika kami cuba mengubah permainan.

"Saya berpuas hati dengan apa yang dipamerkannya, saya berpuas hati dengan kesemua pemain saya," katanya kepada Movistar.

Llorente sekali lagi memainkan watak penting ketika berdepan Valencia dengan rekod hantaran 100 peratus di kawasan lawan.

Casemiro dan Toni Kroos tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan dan Solari lega dia masih mempunyai banyak pilihan untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Ia amat hebat, Ia sesuatu yang menjadikan pasukan itu besar dan kuat. Pasukan besar akan bermain banyak perlawanan.

"Kami melalui banyak perlawanan dan setiap pemain perlu mengekalkan kecergasan untuk diturunkan," tambahnya.