Pengendali Real Madrid, Santiago Solari, tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi menegaskan pasukannya perlu meningkatkan prestasi selepas tewas 0-3 di tangan Eibar, semalam.

Permulaan goyah Madrid musim ini tampak pulih di bawah bimbingan Solari dengan empat kemenangan berturut-turut tetapi aksi pertamanya selaku pengurus tetap berakhir dengan mimpi ngeri.

Namun, pengendali baru itu berpendapat terdapat aspek positif yang boleh diambil daripada aksi semalam sambil percaya situasi yang dialami mampu diatasi menerusi kerja keras.

"Kami tidak bagus dan kami menerimanya. Kami harus meningkatkan persembahan, itu sudah pasti," ujar Solari.

"Eibar bermain dengan baik, kami harus mengucapkan tahniah buat mereka.

"Keputusan ini pastinya sukar kerana kami menjangkakan datang ke sini untuk menang. Kami telah memenangi empat aksi sebelum ini. Kami perlu bekerja keras dan memperbaiki kesilapan hari ini.

"Ia bukan masa untuk mencari salah sesiapa. Kami perlu memperbaikinya untuk diri sendiri. Semua perkara boleh diperbetulkan. Kami memenangi empat perlawanan, melakukannya dengan baik dan harus mendapatkannya semula," tambahnya.

"Saya tidak rasa kami kekurangan disiplin. Kami melepaskan beberapa bola di permulaan aksi dan ia berterusan. Kami tidak menyesuaikan diri dengan padang kecil.

"Namun, untuk membuat kesimpulan daripada hanya satu perlawanan dan mengubah segalanya, ia tidak betul. Saya membuat kesimpulan daripada lima perlawanan," katanya lagi.