Real Madrid melantik Santiago Solari sebagai pengurus tetap yang baru menerusi kontrak sehingga 30 Jun, 2021.

Pengurus berusia 42 tahun itu menikmati tempoh ujian yang cemerlang untuk mengesahkan peranannya apabila membimbing Los Blancos melakar empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan susulan pemecatan Julen Lopetegui, bulan lalu.

Dalam kemunculan terakhir Madrid -- menang 4-2 ke atas Celta Vigo pada Ahad lalu -- bermakna pengurus kelahiran Argentina itu menjadi pengurus pertama Madrid yang unggul meraih empat kemenangan dalam aksi terawalnya sejak Manuel Pellegrini melakukannya pada 2009.

Solari memenangi dua gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) pada 2002 sepanjang lima tahun bersama kelab itu ketika bergelar pemain serta memikul tanggungjawab dalam skuad simpanan sebelum mengambil alih pasukan utama pada 29 Oktober.

Dia menyahut cabaran itu dengan Madrid kini menduduki tangga keenam LaLiga, empat mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Lopetegui menempuhi detik goyah ketika mengemudi gergasi Sepanyol tersebut apabila kehilangan jawatannya berikutan dibelasah 5-1 oleh Barca.

Juara Eropah itu memulakan kempen musim ini dengan baik tetapi pendekatan mereka mula goyah ketika mereka tumbang 0-3 kepada Sevilla pada 26 September, diikuti aksi seri dengan Atletico Madrid dan tewas kepada CSKA Moscow, Deportivo Alaves dan Levante.

Kekalahan kepada Barca membuatkan lembaga pengarah di Santiago Bernabeu hilang sabar sebelum mereka memilih Solari untuk bertindak sebagai pengurus tetap untuk meneruskan kegemilangan mereka.