Penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, berpandangan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, perlu bijak merencanakan pendekatan taktikalnya apabila memiliki barisan terbaik untuk menentang Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, esok.

Vingada buat kali pertama dapat menghimpunkan antara barisan terbaik sejak mula membimbing skuad negara pada Jun lalu.

Ia susulan beberapa tonggak harapan dapat menyertai pasukan kali ini, antaranya penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan, pertahanan, Mohamad Fadhli Shas, Muhammad Fazly Mazlan dan S. Kunanlan.

Sehubungan itu, Asmawi menegaskan kehadiran tiga pemain yang melengkapkan senarai 10 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sememangnya merupakan kelebihan buat Harimau Malaya.

"Vingada (akan) menurunkan pemain yang rata-ratanya daripada JDT. Mungkin disokong oleh pemain-pemain lain bagi mengisi posisi yang diperlukan.

"Saya rasa ia memberikan kelebihan kepada pasukan. Pemain sudah selalu bermain bersama dan ia memudahkan Vingada bagi mencorakkan permainan.

"Ia hanya bergantung kepada Vingada, siapa yang mahu diturunkan dan bagaimana mahu bermain menentang Korea Utara," katanya.

Skuad negara, bagaimanapun, kehilangan kapten, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Baddrol Bakhtiar ekoran penggantungan perlawanan dan kecederaan.

Namun, Asmawi berasakan ketiadaan mereka tidak memberi kesan besar kepada pasukan kerana pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Peluang Malaysia seperti sudah tertutup untuk layak ke Piala Asia selepas hanya menduduki tangga tercorot Kumpulan B dengan satu mata.

Sementara itu, Lubnan muncul pasukan yang hampir pasti layak dengan 10 mata, diikuti Hong Kong di tangga kedua.