Pertahanan Real Madrid, Nacho Fernandez, bercadang untuk tunggu dan lihat mengenai perkembangan kontrak baru Sergio Ramos sebelum memutuskan untuk bersetuju dengan syarat baru yang ditetapkan kelab itu.

Kontrak ketua pasukan Madrid, Ramos, yang sudah lama berkhidmat di Santiago Bernabeu akan berakhir hujung kempen ini sementara Nacho mempunyai baki semusim lagi untuk meneruskan perjanjiannya.

Madrid telah mengadakan perbincangan dengan Ramos demi meneruskan kerjasama mereka tetapi pengurus, Zinedine Zidane, baru-baru ini mengakui tidak pasti apakah pemain antarabangsa Sepanyol itu akan memohon untuk berpindah.

Masa depan Nacho sendiri tidak dapat dipastikan dan pemain berusia 31 tahun itu, yang mula mendapat kepercayaan Zidane untuk membarisi kesebelasan utama musim ini, akan memantau apakah perancangan Madrid sebelum membuat langkah seterusnya.

"Sudah tentu, sama ada Madrid memperbaharui perjanjian Ramos mahupun menandatangani seorang dua pertahanan tengah lagi akan mempengaruhi masa depan saya," katanya dalam sidang media bertemu Liverpool, awal pagi esok.

"Ini perkara biasa, segalanya mampu mempengaruhi keadaan. Saya akan mempertimbangkannya, mengkaji dan berbincang dengan kelab dan keluarga saya.

"Saya telah bercakap dengan kelab. Saya masih ada baki semusim lagi. Saya akan membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri selepas berunding dengan kelab."



Ramos tidak tersenarai dalam skuad 21 pemain untuk pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool ekoran kecederaan betis yang dialaminya ketika bertugas di peringkat antarabangsa.

Dia telah menghabiskan 16 musim terakhir di samping Los Blancos tetapi mula dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Paris Saint-Germain (PSG) pada akhir kempen ini.

"Perkara terbaik baginya ialah dia terus kekal," kata Nacho.

"Sebagai rakan sepasukan, sahabat dan Madridista, saya hanya boleh mengatakan bahawa perkara terbaik untuk kelab adalah memastikan dia kekal.

"Sergio berasa kecewa kerana dia merupakan kapten kami dan tidak dapat tampil dalam tempoh getir musim ini."