Diego Simeone memuji semangat yang ditonjolkan penyerang Atletico Madrid, Diego Costa dan Alvaro Morata, sungguhpun bergelut di depan gawang musim ini.

Atleti hanya merakamkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir LaLiga tetapi hanya tiga mata di belakang pendahulu dan musuh setempat, Real Madrid.

Anak buah Simeone itu gagal menyumbat sebarang gol dalam empat pertemuan lalu yang menjadi punca kegagalan mereka meraih kemenangan.

Costa dan Morata masing-masing hanya menyumbat satu gol liga setakat ini tetapi pengurus berbangsa Argentina itu tidak begitu bimbang tentang kedua-dua pemain tersebut.

"Saya rasa mereka dalam keadaan yang bagus. Mereka melaksanakan tugas dengan baik walaupun belum membuktikannya dengan jaringan -- dan saya sedar itulah tugas utama mereka," katanya dalam sidang media.

"Saya rasa penglibatan, kecenderungan dan kemahuan mereka adalah hebat, saya harap mereka terus melakukannya, itu cabaran yang perlu mereka hadapi.

"Mereka berdua menjaringkan satu gol dalam LaLiga, Morata kurang beraksi daripada Diego tetapi saya melihat kedua-duanya begitu bersemangat. Saya dapat melihat bahawa mereka mahu memperbaiki sentuhan.

"Kami perlu bertenang dan tahu bahawa mereka adalah dua pemain penting untuk kelab ini. Saya berharap mereka akan meledak gol tidak lama lagi kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan mereka tetapi saya yakin mereka sedang melakukan dengan baik."

Atletico akan menjadi tuan rumah kepada Valencia di Wanda Metropolitano malam ini, justeru Simeone berharap anak buahnya akan segera mendapat rentak selepas perlawanan antarabangsa.

"Sebaik mereka kembali daripada pasukan kebangsaan, ia bukan situasi yang mudah," tambahnya.

"Mereka mengharungi lebih banyak dengan pasukan kebangsaan dan ia keadaan yang sukar bagi pasukan dan juga pemain.

"Mereka beraksi hampir setiap hari, kami berharap mereka dapat menyesuaikan diri bersama kelab dan saingan dengan segera.

"Perlawanan esok (malam ini) adalah pertemuan dengan sebuah pasukan yang memberikan saingan tinggi dan bersejarah seperti Valencia, mereka kental ketika bertahan dan serangan balas.

"Beberapa perkara telah dirombak oleh (Albert) Celades daripada apa yang dilakukan oleh Marcelino tetapi jelas pasukan itu sudah mempunyai struktur dan saya membayangkan pengurus itu telah menggabungkannya untuk menghasilkan yang terbaik buat pasukan.

"Mereka cukup berbahaya, dinamik dan mempunyai serangan balas yang berbisa. Kami fikir itulah cara perlawanan ini akan berlangsung."