Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, melaungkan rasa hormatnya terhadap Lionel Messi selepas pemain itu membantu Barcelona mengikat pasukannya 1-1, awal pagi tadi.

Messi tidak berjaya menjaringkan sebarang gol ketika beraksi di Stadium Wanda Metropolitano tetapi memainkan peranan utama dalam gerakan yang membutirkan gol penyamaan menerusi Luis Suarez.

"Keadaan di stadium amat hebat, kami menampilkan aksi bola sepak yang memukau dengan disertai penampilan hebat Messi.

"Messi adalah satu-satunya pemain yang anda akan sentiasa perhatikan setiap kali dia memegang bola kerana sesuatu pasti akan berlaku.

"Jangkaan dia akan penat selepas mengharungi jadual yang padat nyata meleset," kata Simeone.

Dalam masa sama, pengendali dari Argentina itu turut memuji penyerangnya, Antoine Griezmann, walaupun bintang Perancis itu gagal mencatat sebarang jaringan.

"Bagi saya, ini adalah aksi terbaik Griezman di laman sendiri. Dua kali dia memberikan masalah kepada penjaga gol dan bergandingan baik dengan Angel Correa.

"Perlawanan ini menarik disebabkan wujudnya pelbagai corak. Babak pertama kami berjalan dengan baik tetapi Marc-Andre ter Stegen (penjaga gol Barca) beraksi cemerlang.

"Sejak minit ke-60, Barcelona menyerang dengan lebih kerap untuk mendapatkan gol," tambahnya.