Diego Simeone berpuas hati dengan persembahan Atletico Madrid yang "agresif serta sengit" walaupun mereka tewas kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Robert Lewandowski memastikan tiga mata menjadi milik Bayern selepas menewaskan Atletico 1-0 dalam aksi di Allianz Arena.

Sepakan percuma yang diambil Lewandowski pada separuh masa pertama sudah cukup membuat finalis musim lalu, Atletico, untuk merasai kekalahan dalam UCL buat kali pertama bagi musim ini tetapi mereka tetap layak ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan D.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, ketua jurulatih Atletico, Simeone berkata: "Usaha yang dilakukan adalah sangat baik.

"Aksi dalam separuh masa pertama sangat berbeza dengan separuh masa kedua. Permulaan dan penghujung perlawanan telah menunjukkan kepada kami bahawa pasukan lawan berada di ambang kemenangan."

Dia menambah: "Kami mempunyai dua peluang terbaik daripada (Yannick) Carrasco pada permulaan perlawanan. Tetapi kemudian, Bayern beraksi dengan lebih baik.

"Mereka menguasai bola dengan cukup baik dan menjaringkan gol daripada sepakan percuma terus.

"Aksi separuh masa kedua lebih sama rata dan saya fikir pada akhirnya kami telah menampilkan aksi yang sengit dan agresif."