ATLETICO MADRID 1 BAYER LEVERKUSEN 0

Diego Simeone lega apabila Atletico Madrid menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri dengan menewaskan Bayer Leverkusen 1-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.


Atletico sebelum ini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di Stadium Wanda Metropolitano, namun mereka menamatkan kemarau itu dengan kemenangan tipis ke atas lawan dari Jerman berkenaan.

Skuad kendalian Simeone itu hanya menjaringkan satu gol sepanjang tiga perlawanan di gelanggang sendiri, dengan tandukan Alvaro Morata pada minit ke-78 menjadi pemisah dalam perlawanan Kumpulan D itu.

"Saya berasa lega apabila melihat keinginan yang tinggi daripada pasukan ini," katanya kepada wartawan selepas pasukannya terikat tujuh mata dengan Juventus di kedudukan teratas.

"Pasukan ini tahu cara sebenar untuk beraksi.

"Kami boleh bermain dengan buruk atau baik tetapi mereka tahu arah mana yang mereka perlu pergi.

"Terdapat satu jalan dan apabila kami berada di atasnya, kami semakin hampir dengan sesuatu yang akan tiba," katanya.

"Kami cuba untuk menghadapi setiap perlawanan seperti ia perlawanan terakhir kami, sama ada dalam Copa del Rey, LaLiga atau Liga Juara-Juara," tambah Simeone, yang pasukanya sedang menduduki tangga kelima dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona.

"Kami tidak berhenti untuk memikirkan apa yang akan terjadi dalam empat perlawanan yang mendatang.

"Kami fokus terhadap satu-satu perlawanan, itulah caranya untuk kami menghadapi situasi ini.

"Kami sedar perlawanan ini amat penting apabila berdepan seteru yang bermain dengan amat baik.

"Adakalanya, anda memerlukan usaha dan konsentrasi yang tinggi," tambahnya lagi.

Penyerang Atletico, Koke, yang merupakan produk program remaja pasukan itu pada 2009, menjadi mangsa ejekan penyokong sendiri di ibu negara Sepanyol itu dan Simeone menambah: "Saya fikir setiap orang sentiasa melakukan apa yang mereka rasa dan lihat pada sesuatu masa.

"Kerana ia adalah bola sepak.

"Saya masih ingat sewaktu zaman Luis Aragones, Caminero, Kiko.... mereka mengejek kami.

"Jadi dalam bola sepak, apabila anda tidak begitu baik, mereka mahukan anda beraksi baik.

"Tetapi saya pasti penyokong Atletico de Madrid akan meluahkan rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada Koke di atas apa yang telah dan akan dilakukannya buat kelab ini," katanya lagi.