Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone tidak mempunyai rancangan untuk meletak jawatan berikutan permulaan hambar pasukannya musim ini.

Atleti dilihat sebagai pencabar utama untuk merebut kejuaraan LaLiga dalam beberapa musim sebelum ini, tetapi musim ini menyaksikan mereka berada di kedudukan keeam dan hanya meraih tujuh kemenangan daripada 15 perlawanan.

Spekulasi bertiup kencang mengenai masa depan Simeone tetapi jurulatih dari Argentina itu tetap teguh untuk memperbaiki kemerosotan yang dialami Atleti menjelang pertembungan dengan Las Palmas, malam ini.

"Saya mempunyai kontrak dan harapan saya agar dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan dan kelab," katanya pada sidang akhbar.

"Ia seolah-olah seperti kita sentiasa mahu mengatakan perkara-perkara yang indah seperti 'saya mahu kekal di sini', tetapi saya telah melalui perlawanan demi perlawanan sejak lima tahun lalu. Saya mengambil berat tentang apa yang berlaku masa kini."

Simeone seakan tidak mengambil berat, walaupun tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan di semua pertandingan.

"Saya tidak bimbang," katanya. "Bimbang bukan perkataan yang sesuai.

"Perkataan yang sesuai ialah sibuk, sibuk untuk pasukan memberikan tindak balas dan perlu memberikan persembahan yang belum kami lakukan dalam musim ini."