BORUSSIA DORTMUND 4 ATLETICO 0

Diego Simeone menepis kebimbangan terhadap persembahan pasukannya dan memberikan pujian buat skuad Borussia Dortmund yang meraih kemenangan 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Barisan muda Dortmund menjaringkan tiga gol dalam penghujung 20 minit permainan bagi memastikan mereka mendahului Kumpulan A dengan kelebihan tiga mata.

Axel Witsel membuka jaringan pada minit ke-38, disusuli dua jaringan daripada Raphael Guerreiro sebelum pemain gantian, Jadon Sancho, melengkapkan kemenangan Dortmund ke atas Atleti.

Atletico hampir berjaya mengejar perlawanan pada permulaan separuh masa kedua tetapi gagal menggunakan peluang dan Simeone memuji persembahan yang dipamerkan lawan.

"Ia merupakan keputusan yang tepat. Kami mahu mengucapkan tahniah kepada lawan, mereka bermain pantas dan kerap menyerang," kata Simeone.

"Taktikal Dortmund dilaksanakan dengan penuh berkesan. Perkara paling penting adalah mereka mengawal bola dengan baik."

Keputusan ini merupakan kekalahan terburuk dialami Simeone sejak mengambil alih pasukan pada penghujung Disember 2011.

Di sebalik kekalahan itu, Diego Godin masih belum berputus asa untuk terus mengejar pendahulu Bundesliga itu dalam baki aksi Kumpulan A.

"Kami tidak boleh menganggap pasukan tidak bernasib baik," katanya.

"Kami memulakan separuh masa kedua tetapi gagal menggunakan peluang dengan sebaiknya.

"Selepas ini, kami akan cuba meraih sebanyak mata yang mungkin bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya."