ATLETICO MADRID 2 ROSTOV 1

Diego Simeone mengakui kesilapan taktikal yang diterapkannya ketika menentang Rostov awal pagi tadi, namun berterima kasih kepada pemain-pemainnya kerana menyelamatkannya dengan kemenangan 2-1 untuk menghantar Atletico Madrid ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.


Selepas permulaan hambar di Madrid, Atletico memimpin perlawanan hasil usaha Antoine Griezmann pada minit ke-28.

Rostov sudah mula terbayangkan untuk membawa pulang mata dari Vicente Calderon selepas Sardar Azmoun menjaringkan gol penyamaan.

Namun, Griezmann sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada masa kecederaan untuk pasukannya meraih kemenangan keempat mereka dalam kempen Eropah musim ini.

"Selaku jurulatih, saya telah membuat keputusan yang tidak tepat," kata ketua jurulatih itu.

"Saya juga membuat percaturan yang salah pada beberapa ketika dan kerana itu saya terluka, benar-benar terluka. Namun, saya bernasib baik apabila pemain-pemain tahu apa yang diperlukan untuk mengatasi masalah itu.

"Melepasi peringkat kumpulan membolehkan saya berasa bangga sebagai seorang atlet, sebagai pemain dan cara bagaimana kami bersaing."

Dua gol sumbangan Griezmann itu menamatkan penantian Atletico yang ketandusan jaringan sejak empat perlawanan lalu yang menyaksikan kali terakhir mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas Valencia pada 2 Oktober, untuk Simeone berasa gembira dapat mengatasi kebuntuan itu.

Beliau juga menegaskan sumbangan pemain Perancis itu ketika tempoh tersebut telah melangkaui kepuasannya.

"Griezmann berjaya menemui sentuhan penyudah dan kami berterima kasih kepadanya kerana kami amat memerlukan gol ini," tambahnya.

"Tapi kebelakangan ini, Antoine gagal menjaringkan sebarang gol. Dia adalah pemain kami yang paling berbahaya."