Silva tidak rela tinggalkan PSG 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Julai 2020 150
 Silva tidak rela tinggalkan PSG 
Thiago Silva enggan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) sambil mengatakan ini bukan masa yang tepat untuk membincangkan hala tujunya. 

Pertahanan tengah dari Brazil itu bersetuju untuk kekal bersama juara Ligue 1 berkenaan bagi menghadapi perlawanan akhir Coupe de France dan Coupe de la Ligue selain saingan Liga Juara-Juara (UCL), bulan depan, walaupun bulan lalu dia disahkan akan angkat kaki penghujung musim ini. 

Pemain veteran itu telah meletakkan dirinya sebaris dengan legenda kelab berkenaan sejak tiba daripada Milan pada 2012 yang menyaksikannya telah tampil lebih daripada 300 kali buat gergasi Ligue 1 tersebut.

Silva mengucapkan selamat tinggal dalam kemenangan 4-0 ke atas Celtic atas dalam perlawanan persahabatan di Parc des Princes minggu ini,  namun pemain berusia 35 tahun itu berhasrat untuk terus memberi fokus kepada cita-cita pasukan dalam misi merebut piala berbanding masa depannya.

"Ini detik istimewa buat saya. Kami dan penyokong saling menghormati. Mereka bertanya adakah saya akan kekal, tetapi keputusan itu bukan terletak di tangan saya. Sekarang bukan masanya untuk membincangkan topik ini," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan akhir Coupe de France menentang Saint-Etienne, awal pagi esok. 

"Kami akan mempunyai masa yang lain lagi untuk bercakap mengenainya kelak. Saya tidak mahu pergi, tetapi keputusannya itu sudah dibuat. Saya akan menghormatinya sampai ke sudah.

 

"Tiada perbincangan lebih lanjut (mengenai masa depan saya). Leonardo (pengarah sukan PSG) sudah pun bercakap dengan media.

"Saya tidak mahu anda membangkitkannya ketika ini. Saya memahami topik ini, keinginan anda untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku, tetapi sekarang bukan masanya untuk membincangkannya."

Pengurus, Thomas Tuchel,turut senada apabila menambah: "Saya memahami bahawa anda ingin bercakap tentang hal ini tetapi sekarang bukan waktunya.

"Dia adalah ketua pasukan saya, dia amat dipercayai. Saya telah mengatakannya berkali-kali. Adalah penting untuk dia berada di sini bagi menghadapi perlawanan akhir termasuk ke Lisbon dalam UCL. Kemudian kami akan bercakap mengenai semua ini."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen