Bekas penyerang Manchester United, Teddy Sheringham, melontarkan amaran terhadap Jose Mourinho bahawa "masalah" bakal menantinya andai dia gagal membimbing kelab itu memenangi sebarang kejuaraan, namun tetap yakin pengurus berbangsa Portugis itu akan berjaya.

Mourinho dilantik menggantikan Louis van Gaal di Old Trafford sejak awal musim ini.

Di bawah asuhan bekas pengurus Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid itu, United menempuhi prestasi tidak menentu pada awal kempen musim ini dalam pemburuan gelaran selain untuk mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara.

"Ia tugas sukar untuk mengubah keadaan musim lalu," kata Sheringham kepada pemberita.

"Ia permulaan yang baik, lagipun masih di peringkat awal liga.

"Mourinho memiliki aura yang mengatakan dia akan berjaya. Saya pasti.

"Saya tidak fikir mengenai sasaran realistik apabila anda bekerja di Manchester United. Anda dijangka memenangi gelaran, jika tidak, maka masalah akan timbul.

"Ini kerana kemenangan adalah sesuatu yang dijangkakan apabila anda bermain untuk kelab besar di negara ini."