MIRANDES 3 SEVILLA 1

Julen Lopetegui memohon maaf kepada penyokong selepas Sevilla dikejutkan dengan penyingkiran di tangan pasukan divisyen dua, Mirandes, dalam saingan Copa del Rey awal pagi tadi.

Sevilla tumpas 1-3 dalam pusingan 16 itu di Municipal de Anduva yang menyaksikan Matheus Aias membolehkan Mirandes mendahului perlawanan 2-0 dalam separuh masa pertama.

Lopetegui membuat tiga penggantian sejurus waktu rehat dan bernasib baik kerana pasukan daripada Divisyen Segunda itu tidak menambah kesengsaraan mereka apabila Diego Carlos menghadiahkan sepakan penalti kerana menjatuhkan Alvaro Pena tetapi usahanya dari jarak 12 ela itu berjaya ditampan Tomas Vaclik.

Alvaro Rey kemudian memuktamadkan kemenangan mereka lima minit menuju masa kecederaan sebelum jaringan Nolito pada minit ke-90 sekadar menawarkan gol sagu hati.

"Kami memohon maaf, kami sangat sedih tetapi kami perlu bangkit segera," katanya.

"Kami dihukum ekoran membuat permulaan buruk dan mereka mengambil kesempatan untuk mendahului. Dalam format ini, satu permainan yang buruk bermakna anda boleh tewas.

"Jaringan pertama menjadi titik tolak perlawanan. Ia mencetuskan semangat buat mereka manakala memberikan keraguan buat kami.

"Apabila tiga penggantian dibuat, orang pertama yang membuat kesilapan ialah jurulatih.

"Kami cuba menjaringkan gol pada awal babak kedua, namun segala-galanya tidak menjadi buat kami. Jaringan yang kami harapkan tidak kunjung tiba dan kami telah disingkirkan oleh pasukan yang bagus.

"Ini satu tamparan besar, tidak syak lagi. Kami sepatutnya sangat teruja tetapi akhirnya kami terpaksa menelan hakikat (yang pahit)."

Mirandes muncul satu-satunya pasukan daripada luar LaLiga yang layak ke pusingan suku akhir.



Editor: Shaiful Shamsudin