Persatuan Bola Sepak Daerah Setiu muncul juara edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman selepas mengatasi cabaran Kuala Nerus 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Separuh masa pertama menyaksikan aksi bertenaga ditampilkan kedua-dua pasukan dengan saling berbalas serangan.

Walaupun mendominasi babak kedua, Setiu terpaksa menunggu sehingga 10 minit terakhir untuk memecahkan kebuntuan.

Muhd Nuruddin Yusof, 22, muncul wira apabila meledak dua gol menerusi satu percubaan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-80 sebelum melengkapkan kemenangan pasukannya hasil sepakan percuma menarik, empat minit kemudian.

Kejayaan ini membolehkan Setiu membawa pulang wang tunai RM10,000, medal berserta Piala Menteri Besar manakala Kuala Nerus selaku naib juara memenangi RM7,000 dan medal.

Bagi pengendalinya, Rosli Hasyim, percaturannya nyata membuahkan hasil meskipun terpaksa menanti sehingga penghujung perlawanan untuk mendapatkan kemenangan.

“Strategi kami pada babak pertama adalah untuk memberi tekanan kepada pasukan lawan supaya mereka letih dan kekurangan stamina.

“Dalam 45 minit kedua, saya membuat sedikit perubahan pada posisi pemain dan memang kami menjangkakan gol pada saat-saat akhir.

“Nuruddin adalah pemain terbaik kami dan harapan pasukan ini, terutama dalam situasi bola mati.

“Selepas menang dua perlawanan pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) menentang Jeli dan Tanah Merah, kejayaan malam ini (semalam) adalah tonik terbaik menjelang aksi ketiga bertemu Machang, minggu depan,” tambah Rosli.