Gennaro Gattuso tidak menganggap AC Milan dalam kerugian ekoran seri 0-0 dengan Torino sungguhpun mereka berpeluang merapatkan kedudukan dengan Inter Milan dengan satu mata.

Gianluigi Donnarumma mempamerkan ketangkasan untuk menafikan gol pembukaan Torino di San Siro awal pagi tadi tetapi Patrick Cutrone boleh memenangi perlawanan untuk Milan di lewat permainan, namun dihampakan dengan penyudah liar dari jarak dekat.

Milan berpeluang menghambat Inter yang menghuni tangga ketiga jika menang, namun Gattuso -- yang berdepan krisis kecederaan -- menegaskan perkara itu harus dilihat daripada aspek positif.

"Saya tidak menganggap kami melepaskan peluang," kata Gattuso kepada Sky Sport Italia.

"Kami sedar bahawa Torino adalah pasukan sukar yang belum kalah dalam perjalanan mereka.

"Kami bergelut sedikit selama 15-20 minit, kemudian kami memperagakan aksi yang diperlukan.

"Torino mempunyai banyak kualiti dan ia adalah satu perkara yang baik, saya tidak melihatnya sebagai persembahan buruk. Kalau setahun yang lalu, saya yakin bahawa kami akan tewas dalam perlawanan ini."

Gonzalo Higuain, yang kembali beraksi selepas digantung dua perlawanan Serie A, tenggelam dalam aksi itu.

Gattuso, bagaimanapun, mempertahankan prestasi penggempur Argentina itu sambil menambah bahawa Higuain masih bergelut dengan kecederaan.

"Higuain beraksi di bawah tahap sebenar kerana dia masih mempunyai masalah belakang," kata Gattuso.

"Dia bermain dengan kesakitan dan kami perlu menunggunya untuk bertambah baik. Dia bergelut untuk berlatih secara konsisten.

"Pada masa ini, pasukan saya telah memberikan segala-galanya, kami mempunyai ramai pemain yang cedera dan saya fikir kami menanganinya dengan baik mengikut keadaan semasa.

"Saya perlu menggunakan apa yang ada sahaja. Kami mengalami masalah kecederaan, berdepan masalah dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), namun semua itu bukan urusan saya.

"Saya tidak boleh duduk di sini dan mengadu tentang perkara yang di luar kawalan saya," tambahnya.