Aleksandar Kolarov menyifatkan aksi berdepan Brazil dalam Piala Dunia 2018 sebagai perlawanan terbesar dalam kariernya, sambil pengendali Serbia, Mladen Krstajic, menjanjikan permainan tanpa gentar daripada anak-anak buahnya bagi aksi Kumpulan E, awal pagi esok.

Selepas terpaksa menerima kekalahan 2-1 di tangan Switzerland, Serbia tiada pilihan lain kecuali meraih kemenangan ketika berdepan juara Piala Dunia lima kali itu sekiranya mahu meneruskan kemaraan.

Keputusan seri sudah memadai buat mereka sekiranya Switzerland tewas di tangan Costa Rica yang telah pun tersingkir setelah tewas dua kali tanpa sebarang jaringan.

Kolarov, yang bertindak selaku ketua pasukan dan menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Costa Rica menerusi sepakan percuma, percaya aksi pada awal pagi esok di Moscow adalah kemuncak dalam kariernya.

"Bagi saya, aksi ini adalah final dalam karier saya kerana ia adalah perlawanan paling penting sepanjang bergelar pemain bola sepak dan ini adalah cara untuk saya menghadapinya," ujar Kolarov.

"Pemain-pemain tahu apa yang akan dilakukan memandangkan kami berada di pentas terbesar, iaitu Piala Dunia, dan mungkin peluang sebegini hanya datang sekali.

"Apabila anda berdepan lawan, anda mahu beraksi di tahap terbaik. Saya pasti kami sudah bersedia untuknya dan menikmati aksi ini," ujarnya lagi.

"Kami berada dalam kumpulan yang sengit tetapi berjaya membuktikan kualiti yang dimiliki dalam dua aksi sebelum ini. Ia adalah gabungan pemain veteran seperti Kolarov serta barisan muda yang bakal membawa cabaran Serbia pada masa depan, mungkin 10 atau 12 tahun lagi," tambah Krstajic.

"Tiada apa yang akan merugikan kami. Kami mungkin akan tewas tetapi jika kami tidak bersedia memberikan segala-galanya dalam tempoh 90 minit, kekalahan pasti diterima. Tanggungjawab anda tidak boleh diabaikan.

"Kami tidak gentar dengan Brazil tetapi setiap pemain Serbia perlu berhati-hati, berdisiplin dan bertindak sebagai satu pasukan. Apa yang berlaku di atas padang, kami harus memuaskan hati semua peminat Serbia," tambahnya.