Menjelang aksi pertama perlawanan akhir Piala Belia FAM, Selangor berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan kejuaraan apabila beberapa tonggak dilanda kecederaan sambil Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mengidamkan untuk mencipta kejutan.

Meskipun kem Selangor mempamerkan aksi cemerlang ketika mengetepikan Kelantan di peringkat separuh akhir dengan aggregat 3-1, ia bukan alasan untuk memandang mudah cabaran pasukan lawan, SSBJ.

Jurulatih Selangor, Noor Zaidi Rohmat, melihat ada ancaman yang perlu diawasi di sebalik senarai pemain SSBJ yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain berusia bawah 17 tahun.

"Dalam peringkat kalah mati, kami tidak boleh kekurangan disiplin ketika bertahan. Alhamdulillah sepanjang peringkat suku akhir dan separuh akhir, kami berjaya untuk menampilkan tahap disiplin yang tinggi dan saya berharap kami akan lebih berdisiplin apabila turun menentang SSBJ, esok," jelas Noor Zaidi.

Sementara itu di kem SSBJ, pasukan kendalian Reduan Abdullah selesa dilabel sebagai pasukan underdog.

Perasaan hormat tetap wujud, bagaimanapun, mereka tidak gentar kerana percaya SSBJ bukan satu pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

Buktinya, memasuki peringkat kalah mati, SSBJ telah menjaringkan enam gol dan bolos tiga kali sahaja.

"Dari segi umur, mereka mungkin lebih muda, tetapi dari semasa ke semasa, saya dapat melihat peningkatan daripada pemain-pemain saya," ujar Reduan.