Bekas pertahanan Bayern Munich, Lucio, percaya bahawa pencapaian jurulatih, Jupp Heynckes, bersama gergasi Jerman itu sebelum ini bakal memainkan peranan utama dalam mengembalikan kegemilangan pasukan.

Heynckes dilantik buat kali keempat selaku pengurus Bayern pada bulan lalu selepas Carlo Ancelotti dipecat akibat prestasi yang merudum.

Sejak Heynckes mengambil-alih, Bayern telah memenangi enam perlawanan dalam kesemua kejohanan, termasuk meletakkan pasukan di tangga teratas Bundesliga mengatasi seteru utama, Borussia Dortmund.

Lucio yang beraksi di bawah kendalian pengurus berusia 72 tahun itu pada tahun 2009 yakin bahawa Heynckes adalah individu yang tepat untuk mengemudi pasukan.

"Ya, saya bersamanya dalam situasi yang sama, di penghujung musim dia menggantikan pengurus lain.

"Dia adalah seorang warga Jerman yang sejati. Heynckes sentiasa mahukan kemenangan dan telah membuktikannya di Bayern Munich. Perkara itu membantunya ketika ini.

"Tekanan sangat tinggi buat Bayern untuk memenangi Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi dia tahu bagaimana untuk mengatasinya dan saya yakin dia akan membantu Bayern," kata Lucio.

Bayern Munich bakal menentang Dormund pada awal pagi Ahad dan kemenangan akan meletakkan mereka selesa di puncak liga dengan kelebihan enam mata.

"Bayern dan Dormund sentiasa bersaing.

"Sejak beberapa tahun lalu, Dortmund telah meningkat naik sehingga layak ke final UCL dan memenangi Piala Jerman. Segala-galanya hampir sama, tidak kira anda bersama Bayern atau Dortmund.

"Di Jerman, peminat-peminat sentiasa menghormati kedua-dua pasukan tetapi tekanan tetap ada," tambahnya.