Pep Guardiola percaya peningkatan pemain muda, Phil Foden, terserah kepada pemain belasan tahun itu sendiri yang membuat penampilan sulungnya untuk Manchester City dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Foden, yang sebelumnya membintangi barisan remaja England ketika menjuarai Piala Dunia Bawah 17 Tahun, masuk dari bangku pemain simpanan dalam kemenangan 1-0 ke atas Feyenoord yang mengesahkan tempat mereka di tangga teratas Kumpulan F.

City juga memiliki seorang lagi produk akademinya, Brahim Diaz, di atas padang pada penghujung perlawanan, sambil kelab itu meraih satu lagi kemenangan dalam perlawanan ke-50 di bawah pengendalian Guardiola

Tetapi selepas satu gol lewat Raheem Sterling memastikan City kekal dengan rekod sempurna dalam kumpulannya, Guardiola bertegas bahawa Foden dan Diaz hanya akan terus bermain jika kedua-duanya terus membuktikan keupayaan mereka.

“Hari ini adalah hari yang istimewa buat semua di kelab ini,” Guardiola memberitahu BT Sport.

"Akademi telah berusaha keras untuk beberapa tahun kebelakangan dan hasilnya, kami mendapat Phil Foden dan Brahim Diaz.

"Mereka berasakan apakah maknanya untuk bermain di hadapan penyokong seperti ini. Ia terserah kepada Phil kini. Dia mengenali kelab ini, rakan-rakan sepasukan dan staf yang sentiasa ada untuk menyokongnya.”

Sesudah mengesahkan tangga teratas Kumpulan F, dengan berbaki perlawanan menentang Shakhtar Donetsk, yang akan mendahului pertembungan ‘derby’ dengan Manchester United, Guardiola ditanya sama ada dia akan menurunkan Foden dan Diaz sekali lagi.

“Kami menghormati kejohanan ini, kami hormati Shakhtar dan kami hormati Napoli," kata Guardiola.

"Kami mempunyai banyak perlawanan, kami akan lihat apa pasukan yang kami akan hadapi dalam perlawanan terakhir. Siapa tahu apa yang akan berlaku.”