Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memuji sikap yang dipamerkan barisan pemainnya yang dirasakannya "memberikan yang terbaik" untuk merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Brazil.

Lionel Messi kembali ke dalam skuad utama sejak saingan Copa America selepas digantung empat perlawanan kerana mendakwa Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) tidak telus.

Messi meraih sepakan penalti, namun dinafikan Alisson, sebelum menampan masuk bola muntah sejurus Gabriel Jesus gagal memberikan gol pendahuluan buat Brazil.

Argentina kelihatan lebih menghadirkan ancaman ketika melakukan serangan, namun tidak bernasib baik untuk menambah jaringan dalam separuh masa kedua.

Di sebalik peluang demi peluang dibazirkan Argentina, Scaloni berpuas hati dengan mentaliti dan sikap yang dipamerkan pasukannya.

"Saya gemar dengan aksi dalam separuh masa kedua," kata Scaloni. "Kami melakukan pertukaran kerana mahu menguji kemampuan yang dimiliki.

"Pasukan telah memberikan tindak balas -- pemain-pemain yang beraksi telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini."

Argentina kekal tanpa sebarang kekalahan dalam lima perlawanan selepas berakhirnya Copa America manakala Brazil -- yang menjulang trofi tersebut buat kali kelima -- gagal merakamkan sebarang keputusan positif.