ARGENTINA 2 URUGUAY 2

Lionel Scaloni berpuas hati dengan peningkatan Argentina selepas mengikat Uruguay 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Tel Aviv awal pagi tadi.


Argentina bangkit daripada ketinggalan dengan Lionel Messi menjaringkan gol dalam waktu kecederaan untuk memadamkan jaringan pendahuluan Luis Suarez selepas Edinson Cavani dan Sergio Aguero turut menemui sasaran buat pasukan masing-masing.

Ia memanjangkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan berturut-turut sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 tahun depan.

Scaloni gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pasukannya walaupun ketua jurulatih itu mengakui masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

"Berkenaan keputusan perlawanan, ia baik-baik sahaja. Berkenaan permainan kami, ia masih boleh diperbaiki," katanya seperti yang dipetik Ole.

"Suasana dalam pasukan merupakan yang terbaik setakat ini.

"Perkara terpenting adalah pemain yang terpilih beraksi dengan amat baik.

"Sesetengah (pemain) melakukan perubahan dan yang lain menyokongnya," katanya.

Scolani menyedari cabaran yang akan menanti pasukannya dengan menyifatkan pusingan kelayakan peringkat Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) sebagai yang paling sukar di dunia.

"Sekarang kami perlu melihat apa yang telah kami lakukan dengan baik dan apa yang kami boleh perbaiki.

"Apa yang akan tiba selepas ini adalah sesuatu yang sukar.

"Saya sudah bercakap dengan wakil Uruguay, ia merupakan pusingan kelayakan yang sukar.

"Pusingan kelayakan di Amerika Selatan adalah yang paling sukar di dunia.

"Kami mempunyai negara-negara yang hebat," tambahnya.