Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, melihat kegagalan pasukannya bukan sahaja tidak layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-19, malah mengakhiri saingan di tangga tercorot Kumpulan D selepas tewas 0-2 kepada China dalam aksi di Bekasi, malam tadi.

Hodak tidak dapat berselindung bahawa tahap teknikal pasukannya itu berada di peringkat sederhana selepas sekadar meraih satu mata melalui tiga perlawanan.

Jelas jurulatih berkenaan, tahap seperti itu sahaja yang mampu dilakukan pemainnya dan menggesa semua peminat bola sepak tempatan supaya bersikap realistik andai ada di antara mereka yang mahukan skuad ini layak ke Piala Dunia B-20.

Kelemahan pada sebahagian besar pemain meranapkan impian skuad negara untuk mara lebih jauh dalam kejohanan itu.

"Kami terlalu naif dalam setiap perlawanan sepanjang kejohanan ini.

"Kami tidak boleh berasa kecewa.

"Mungkin ada yang terlalu optimis untuk kami layak ke Piala Dunia.

"Namun, dengan tahap seperti ini, adalah mustahil untuk kami sampai ke peringkat itu," kata Hodak.

Mengenai perancangan selepas ini, Hodak mendedahkan kontraknya akan berakhir pada Ogos 2019 dan dalam tempoh itu dia akan melakukan persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2019 yang akan berlangsung di Vietnam, tahun depan.

Beliau belum membuat sebarang keputusan mengambil pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kerana keutamaan akan diberikan kepada pemain yang lahir pada tahun 2001.

"Kami akan melakukan pemilihan.

"Setakat ini, kami mencari pemain yang lahir pada tahun 2001.

"Ini adalah amalan yang dilakukan untuk setiap tahun," tambah Hodak.

Dalam pada itu, pemain tengah negara, Ammar Akhmall Alias, tidak menafikan tekanan mahu menang menyebabkan mereka tewas kepada lawan yang sudah tersingkir daripada saingan selain turut kecewa apabila mengetahui Arab Saudi berjaya mengalahkan Tajikistan.

"Kami dalam tekanan untuk menang.

"Jika kami menang, kami mampu meraih kedudukan kedua terbaik selepas menewaskan China, lebih-lebih lagi Tajikistan juga tewas kepada Arab Saudi.

"Kami sudah cuba memberikan yang terbaik, jadi kami amat kecewa," katanya.