REAL MADRID 2 VIKTORIA PLZEN 1

Toni Kroos lega merakamkan kemenangan pertama selepas enam perlawanan susulan kejayaan Real Madrid mengatasi Viktoria Plzen.


Madrid menempuh detik buruk dalam kesemua pertandingan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurus, Julen Lopetegui, namun mereka kembali di landasan sebenar menerusi kemenangan 2-1 ke atas Plzen di laman sendiri, awal pagi tadi.

Karim Benzema dan Marcelo turut mencetak nama selaku penjaring sambil pemain tengah, Kroos, menghelakan kelegaannya dan menggesa Madrid agar terus mempamerkan peningkatan menjelang pertembungan 'El Clasico' dengan Barcelona, Ahad ini.

"Saya benar-benar merindui perasaan meraih kemenangan kerana sudah terbiasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. "Tetapi, saya sentiasa yakin kami akan kembali ke landasan kemenangan.

"Kami perlu terus berusaha kerana tidak semuanya sempurna, tidak semuanya buruk sebelum ini dan tidak semuanya dalam keadaan baik ketika ini, jadi kami perlu teruskan usaha."

Mengenai ketumpulan berterusan Madrid di hadapan gol, tambahnya: "Ia sentiasa bagus untuk mencipta peluang tetapi itulah masalah kami pada masa ini: kami tidak menjaringkan gol yang mencukupi berbanding peluang yang kami cipta.

"Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan adalah terus bekerja keras dan mencipta peluang, kami boleh menjaringkan empat atau lima gol, namun lebih baik untuk mendapatkan peluang sebegini daripada tiada langsung."