ATALANTA 1 JUVENTUS 3

Maurizio Sarri berkata dia tidak menyesal merehatkan Cristiano Ronaldo untuk perlawanan menentang Atalanta walaupun The Bianconeri tidak mempamerkan persembahan meyakinkan awal pagi tadi.


Ronaldo direhatkan susulan masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan lutut dan ketiadaannya dirasai dalam keseluruhan perlawanan sehingga dua gol Gonzalo Higuain dan jaringan waktu kecederaan Paulo Dybala memberikan kemenangan 3-1.

Sarri, yang menjadi tajuk utama selepas mengeluarkan Ronaldo ketika berdepan AC Milan sebelum tempoh rehat antarabangsa, berharap bekas bintang Real Madrid itu dapat pulih menjelang pertemuan dengan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Selasa ini.

Namun, dia tidak berdepan sebarang masalah untuk mengetepikan penggempur itu ketika menentang Atalanta.

"Saya harap dia segera kembali bagi aksi Liga Juara-Juara. Dia mengalami sedikit masalah yang memberi kesan kepadanya sewaktu sesi latihan, bergelut untuk kekal konsisten," katanya.

"Ia bergantung kepada bagaimana keadaan pemain itu, kecergasannya dan keperluan untuk dia berehat. Dia mengakuinya dan saya bersetuju. Penting untuk dia mencari sentuhan dalam latihan sambil tidak memberikan tekanan tambahan kepada lututnya.

"Ia dalam keadaan baik tetapi kesakitan yang berpanjangan membuatkan anda terpaksa diketepikan.

"Saya gembira untuk merehatkannya. Saya fikir jalan terbaik adalah merehatkan, kemudian mengenal pasti cara latihan yang sesuai dengannya."

Musa Barrow melepaskan peluang sepakan penalti di awal permainan buat Atalanta sebelum berada di depan hasil tandukan Robin Gosen pada minit ke-56, namun lawan bangkit untuk membenam mereka.

Sarri mengakui pasukan bimbingannya itu bernasib baik dapat kembali menemui rentak tetapi ia mendebarkan apabila kedudukan terikat.

"Ia satu perlawanan yang menghiburkan. Ia sesuatu yang jarang disaksikan dalam Serie A," tambahnya.

"Kami hilang arah selepas sepakan penalti itu, berfikir tentang semua perkara kecuali bola sepak dan membiarkan Atalanta mengawal permainan. Mereka berhak mendahului.

"Kami bernasib baik dapat menyamakan kedudukan dalam gerakan yang pantas dan menunjukkan keyakinan kami mampu menang.

"Dalam minit-minit terakhir, kami mula menyerang menerusi ruang yang dicipta walaupun sebelum itu, ia tidak cukup."