Juventus mengesahkan pengurus, Maurizio Sarri, tidak akan bersama Juventus dalam dua aksi pertama Serie A musim ini.

Sarri disahkan mengalami radang paru-paru awal minggu ini dan telah menjalani ujian perubatan.

Juve berkata semalam keputusan terbaru tahap kesihatan Sarri menunjukkan peningkatan.

Namun, pengurus berusia 60 tahun itu, yang meninggalkan Chelsea untuk kembali ke Itali, akan diberikan masa untuk pulih sepenuhnya.

Juve akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan berdepan Parma di laman lawan esok dan Sarri bakal terlepas aksi berdepan bekas majikannya, Napoli, 31 Ogos ini.

"Keputusan ini diambil untuk membenarkan Sarri berehat, pulih sepenuhnya untuk kembali berkhidmat bersama pasukan," menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab.