Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala masih boleh meningkatkan lagi gandingan mantap mereka, menurut pengendali Juventus, Maurizio Sarri.

Dua penyerang itu terlibat dalam 17 gol dalam 10 perlawanan sejak saingan bersambung bulan lalu, dengan Ronaldo diturunkan di bahagian kiri sementara Dybala di bahagian tengah.

Ronaldo melakukan gerakan bersama Dybala semasa meledak gol kedua ketika Juve mengatasi Lazio 2-1, selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk membuka jaringan sekaligus menjadi pemain pertama untuk meledak 50 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga dan Serie A.

Namun ketika Sarri menikmati kualiti yang dipamerkan oleh gandingan itu, dia percaya mereka masih lagi meningkatkan lagi tahap keserasian di atas padang.

"Ia terbukti kami mampu bermain dengan lebih cemerlang," kata Sarri.

"Saya tidak melihat sebarang kesukaran dihadapi pemain-pemain elit seperti Ronaldo dan Paulo Dybala berkongsi padang, selepas mereka telah menjaringkan 51 gol dalam tempoh dua musim."
Selepas memecahkan rekod dengan dua jaringan ke atas Lazio, Ronaldo kini menyamai bilangan jaringan dengan Ciro Immobile di puncak carta penjaring terbanyak Serie A dengan 30 gol.

Dengan gelaran liga semakin hampir dicapai dengan saingan Liga Juara-Juara (UCL) bakal bersambung bulan depan, Sarri melihat tiada alasan untuk merehatkan pemain kebangsaan Portugal itu.

"Saya telah bercakap dengannya sebelum ini dan dia memberitahu dirinya di tahap terbaik.

"Ia merupakan sebahagian daripada kekuatannya -- kebolehan untuk memulihkan tahap kecergasan fizikal dan mental termasuk dengan tenaga emosi. Kembali meletakkan dirinya untuk mengejar sasaran seterusnya. Ia membantunya untuk mengatasi kepenatan."