Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, menegaskan bahawa dia tidak kecewa dengan kritikan terhadapnya kerana fokusnya ialah memburu trofi musim ini.

Menjelang kunjungan ke Sassuolo awal pagi esok, Juve menguasai puncak Serie A dengan jurang enam mata tatkala saingan itu berbaki enam perlawanan lagi manakala mereka turut mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Matlamat Sarri -- yang tewas dalam final Coppa Italia dan Supercoppa Italiana musim ini -- tidak terganggu di sebalik berdepan beberapa kritikan yang dihadapinya.

"Sejujurnya, saya tidak terlalu mengambil pusing tentang kritikan, saya sering berusaha untuk memberi fokus kepada kemampuan sendiri," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tidak tahu apa yang orang lain katakan di media sosial, saya bukan mereka dan saya tidak akan menjadi seperti itu.

"Ketika berada di jalanan, kami menerima sokongan dan kasih sayang."

Juventus tidak menang dalam dua perlawanan lalu mereka dan kali terakhir memerlukan sepakan penalti daripada Cristiano Ronaldo untuk seri dengan Atalanta.

Sarri, bagaimanapun, tidak khuatir dengan barisan tengahnya yang jarang menyumbangkan gol di sebalik Ronaldo (tujuh jaringan) dan Paulo Dybala (empat) menjadi watak utama menjana sentuhan penyudah dalam enam perlawanan terakhir.

"Kami telah menyumbat 17 gol dalam enam perlawanan terakhir dan secara terus terang saya tidak peduli dengan nisbah jaringan kami," katanya.

"Kami semua sedar bahawa antara pemain tengah kami, (Aaron) Ramsey adalah orang yang berpotensi menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan ciri-ciri peribadi permainannya.

"Kemudian kami mempunyai dua pemain yang sedang berkembang pesat dan pada masa akan datang, saya yakin mereka akan menjaringkan lebih banyak gol lagi, misalnya (Rodrigo) Bentancur dan (Adrien) Rabiot."