NAPOLI 2 JUVENTUS 1

Maurizio Sarri berkata dia gembira apabila bekas kelabnya, Napoli, dapat memastikan kekalahan kedua dalam Serie A buat pasukannya, Juventus, yang turut terlepas peluang untuk melebarkan jurang kepada enam mata dengan pasukan di tangga kedua, Inter Milan.


Walaupun Cristiano Ronaldo dapat menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut, ia sudah terlewat buat juara bertahan itu selepas Piotr Zielinski dan Lorenzo Insigne meletakkan Napoli di depan dalam perlawanan di San Paolo itu awal pagi tadi.

Terdapat sorakan dan kain rentang bersifat anti-Sarri dalam perlawanan itu tetapi pegurus berkenaan gembira kerana Napoli dapat keluar daripada kemerosotan prestasi biarpun ketika menewaskan pasukannya.

"Saya amat gembira untuk pemain mereka kerana saya sentiasa menyayangi mereka," katanya sepada Sky Sport Italia selepas rekod lima kemenangan brutrut-turut Juve dalam Serie A dileburkan dalam perlawanan itu.

"Jika kami perlu tewas, saya lebih sanggup ia berlaku di sini untuk membantu Napoli keluar daripada masalah mereka.

"Saya yakin mereka akan mula memenangi perlawanan minggu depan, ia sudah pasti.

"Amat jelas, apabila permainan bermula, anda perlu melupakan segala hubungan.

"Napoli memberikan momen yang amat istimewa dalam hidup saya dan saya sentiasa gembira dan beremosi untuk kembali ke sini.

"Kami perlu lebih bersemangat untuk melebarkan jurang (dengan Inter), jika tidak, ia bermakna kami lemah.

"Saya harap ia tidak begitu.

"Jika situasinya membebankan kami, walaupun tanpa disedari, ia bermakna kami belum bersedia," katanya.

Kemenangan di laman sendiri buat Napoli sejak Oktober lalu itu hadir selepas mereka menewaskan Lazio dalam Coppa Italia minggu lalu tetapi pengurusnya, Gennaro Gattuso, enggan terbawa-bawa dengan peningkatan itu.

"Saya akan pulang ke rumah malam ini dengan masih memikirkan tentang kekalahan (0-2) kepada Fiorentina kerana ia amat mengejutkan.

"Kami menewaskan dua pasukan besar, ia baik tetapi kami masih bermasalah dan perlu terus berusaha kerana perjalanan ini masih panjang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain di atas usaha mereka sepanjang tujuh hari ini tetapi kami perlu meneruskannya.

"Kami tidak boleh berhenti dan fokus kepada Napoli sepanjang 24 jam sehari.

"Saya amat marah dengan gol Ronaldo kerana kami tidak boleh melepaskan sebarang gol buat masa ini." katanya.




Editor: Muzaffar Musa