Jurulatih Napoli, Maurizio Sarri, percaya Manchester City mampu mempamerkan cabaran lebih hebat kepada pendahulu Serie A itu berbanding Real Madrid menjelang pertembungan mereka di pentas Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

City akan menyambut Napoli di Stadium Etihad selepas berjaya merobek gawang lawan sebanyak 29 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara skuad kendalian Sarri mengekalkan rekod 100 peratus dalam liga.

Sehubungan itu, bekas pengendali Empoli itu tidak sangsi lagi mengenai pasukan yang menjadi pilihan dalam pertembungan Kumpulan F itu nanti.

Napoli tewas 6-2 secara agregat kepada Real Madrid di peringkat 16 musim lalu, namun Saari mendakwa skuad bimbingan Pep Guardiola yang berada di kemuncak prestasi mungkin menjadi lawan yang lebih sukar.

"Perasaan melihat Manchester City bermain, tidak sama seperti perasaan saya ketika kami bertemu Real Madrid," katanya dengan Napoli tiga mata di belakang City untuk perlawanan ketiga UCL musim ini selepas tewas mengejut kepada Shakhtar Donetsk dalam aksi pembukaan.

"Saya sentiasa berasakan kami mampu memberikan tekanan kepada pencabar, namun kali ini Manchester City adalah pasukan yang menggerunkan.

"Tetapi, kalau kami ingin bermain di tahap tertentu, kami harus melakukannya dalam aksi penting dengan sasaran untuk meraih keputusan."

Selepas mengkaji rentak City yang meledak 17 gol dalam tiga perlawanan liga di tempat sendiri, Sarri berseloroh: "Saya menonton beberapa perlawanan. Saya tidak mahu melihat kesemuannya kerana saya tidak mahu kemurungan.

"Buat masa ini, City adalah pasukan terhandal di Eropah."

Sarri, 58, enggan mengorbankan corak permainan menarik pasukannya biarpun bakal berdepan serangan berbahaya City.

"Saya lebih suka mati secara tiba-tiba sekiranya perlu dan bukannya dengan kematian menderita," kata Sarri.

"Apabila bertembung dengan sebuah pasukan taktikal dan berkebolehan seperti City, anda perlu berhati-hati untuk tidak terlalu memikirkannya.

"Kami perlu fokus. Mereka mungkin boleh menguasai permainan berdasarkan teknikal dan kepantasan yang mereka miliki adalah lebih baik.

"Saya menuntut pemain agar tidak gentar dengan lawan. Kami menghormati lawan, namun tidak perlu gentar. Ia akan melumpuhkan anda dan menghalang anda untuk memberikan yang terbaik.

"Saya menggesa 11 pemain saya agar mempercayai diri sendiri. Ia mungkin sukar tetapi kami mungkin sedikit gila-gila. Jika kami tidak memiliki keyakinan yang gila-gila, apa gunanya?"

Guardiola turut menyanjung Sarri, sepertimana yang dilakukannya beberapa minggu ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada Guardiola kerana dia menyebut banyak perkara menarik mengenai kami," tambah Sarri.

"Pujian yang diberikannya sangat dialu-alukan. Buat masa ini, dia adalah pengurus terhebat di dunia.

"25 tahun lalu, Arrigo Sacchi adalah pelopor dan beberapa tahun ini kita melihat Guardiola menyamai pengaruhnya. Jika Guardiola memuji kami, kami sangat gembira."