Eden Hazard tidak akan disenaraikan dalam aksi Liga Europa membabitkan Chelsea menentang PAOK ekoran masalah pergelangan kaki, dedah pengurusnya, Maurizio Sarri.

Chelsea mengelak daripada mengambil risiko mengetengahkan bintang Belgium berkenaan untuk melayani kelab Greece itu di Stamford Bridge pada awal pagi ini, namun bersedia untuk diturunkan menghadapi Fulham bagi aksi Liga Perdana, hujung minggu ini.

Sarri, yang juga menjelaskan Victor Moses akan terlepas pertembungan dengan PAOK akibat kecederaan belakang, mengakui bimbang dengan situasi Hazard kerana bergelut untuk memulihkan prestasi dan kecergasan baru-baru ini.

Bercakap dalam sidang akhbar semalam, Sarri berkata: "Masalah terakhir kami adalah Moses. Saya bercakap dengan doktor 10 minit lalu dan Moses menghadapi masalah belakang, saya rasa dia tidak akan dapat bermain.

"Bagaimanapun, Hazard sudah tentu tidak mengalami kecederaan serius. Saya fikir dia tidak akan dapat bermain tetapi dia akan sempat pulih untuk perlawanan Liga Perdana seterusnya."

Ditanya mengenai prestasi semasa Hazard yang menyaksikannya mengalami kemarau jaringan dalam lima perlawanan, Sarri berkata: "Saya bimbang kerana 25 hari yang lalu, dia mengalami kecederaan belakang dan kini pergelangan kaki.

"Dia terlepas banyak sesi latihan, jadi sudah tentu dia tidak berada di puncak keadaan fizikal. Dia baru kembali berlatih selama seminggu dan mengharungi beberapa perlawanan.

"Minggu ini adalah penting untuknya menjalani latihan, kemudian kami akan lihat situasinya. Sudah tentu dia tidak boleh mengharungi 10 aksi dalam tempoh 29, 30 hari, jadi adakalanya dia terpaksa berehat."

Chelsea akan menjamin kedudukan selaku pendahulu Kumpulan L, justeru Sarri berjanji untuk membuat beberapa rombakan kepada pasukannya yang tewas 1-3 kepada Tottenham pada hujung minggu lalu, terutama menjelang jadual padat bulan depan.

"Bulan depan, kami perlu mengharungi 10 perlawanan, jadi saya fikir kami perlukan perubahan ketika ini," katanya.

"Kami mempunyai dua sasaran dalam pertandingan ini: yang pertama adalah kelayakan dan sasaran ini telah dicapai dan satu lagi adalah untuk memenangi kumpulan.

"Kami memerlukan satu mata lagi tetapi kami tidak boleh fikir bermain hanya untuk memungut satu mata atau kami tewas. Tetapi tentu saja kami boleh melakukannya jika kami menukar tujuh, lapan pemain.

"Saya perlu memikirkan segala-galanya. Kami beraksi sangat teruk minggu lalu tanpa keazaman. Kami kalah dalam tempoh 110 hari, secara umumnya kami beraksi baik tetapi kami perlu memahami mengapa kami bermain menentang Tottenham tanpa keazaman, ia tidak normal. Jadi, saya ingin melihat reaksi barisan pemain, adakah mereka belajar sesuatu."

Sarri turut mencadangkan Callum Hudson-Odoi mungkin terlibat bertemu PAOK, namun menegaskan keperluan pemain berusia 18 tahun itu untuk memperbaiki aspek bertahannya sekiranya berhajat mengukuhkan posisinya.

"Saya fikir ia perlu diperbaiki," kata Sarri. "Pertama sekali, fasa pertahanan. Dia harus bekerja keras. Dia sangat bagus dalam situasi satu lawan satu tetapi dia harus belajar bergerak tanpa bola.

"Dia seorang pemain yang sangat bagus dan kini dia perlu belajar, memperbaiki, bekerja, tetapi saya fikir ini adalah perkara biasa kerana dia baru berusia 18 tahun. Saya mahu mencari ruang untuknya tetapi ia bukan mudah kerana kami mempunyai seramai 28 pemain. Tidak mudah untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama.

"Ia sangat sukar tetapi saya akan cuba mencari ruang untuknya. Dia ada dalam senarai 18 pemain untuk perlawanan ini, saya tidak tahu sama ada dia akan memulakan permainan."