Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, melaungkan kepercayaan buat Jadon Sancho yang diyakini mampu menjadi lebih baik di masa akan datang.

Sancho merupakan tonggak baru buat pendahulu Bundesliga itu selepas menjaringkan lima gol serta empat bantuan jaringan dalam 14 perlawanan bagi kesemua kejohanan.

Penyerang berusia 18 tahun itu memaparkan aksi menarik yang membantu dia memperoleh penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England selain turut mendapat perhatian gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Favre tidak teragak-agak memuji bintang mudanya itu dengan menjelaskan apa yang dipamerkan Sancho dalam usia sedemikian merupakan sesuatu yang luar biasa.

"Dia mempunyai potensi yang besar. Dia hanya berusia 18 tahun dan sudah mewakili England," kata Favre.

"Dalam usia sedemikian, dia memang luar biasa. Perkara seperti itu tidak selalu tiba.

"Sudah tentu dia masih mampu meningkat, dia sedar akan itu, namun dia kini sememangnya sudah bagus.

Favre menambah: "Dia sedar dia masih boleh meningkat. Dia hanya perlu terus bekerja keras. Terus kekalkan ketenangan dan menikmati setiap kegembiraan."

Dortmund yang memiliki kelebihan dua mata di puncak Bundesliga akan bertandang ke Wolfsburg, malam esok.