Jorge Sampaoli kecewa memilih Jerman sebagai salah sebuah pasukan pilihan menjuarai Piala Dunia sambil mendedahkan kurang gemar dengan gaya permainan mereka.

Ketua jurulatih Argentina itu menyaksikan pasukannya bersaing hingga perlawanan terakhir untuk melayakkan diri ke Russia 2018, dengan Lionel Messi muncul wira ketika meraih kemenangan ke atas Ecuador dalam saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Juara bertahan, Jerman, yang meraih 10 kemenangan daripada 10 perlawanan, dilihat sebagai pilihan untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi ketika menewaskan Argentina dalam aksi final di Brazil.

Skuad bimbingan Joachim Low itu turut menjuarai Piala Konfederasi dengan menurunkan kesebelasan kedua tetapi Sampaoli melihat Brazil, Perancis dan Sepanyol merupakan cabaran yang lebih besar untuk meraih trofi paling berprestij sukan bola sepak itu.

"Saya berasakan Brazil, Sepanyol dan Perancis berada selangkah lebih di hadapan kami," katanya.

"Saya tidak menyebut Jerman kerana terlupa mengenai mereka kerana saya tidak suka melihat gaya permainan mereka," katanya.

Sampaoli turut memberikan bayangan akan memanggil semula penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, yang kehilangan tempat sejak beliau mengambil alih tugas pada Jun yang lalu.

"Higuain mengharungi waktu yang sukar ketika ini.

"Tetapi saya berasakan dia adalah pemain yang sangat penting buat kami.

"Saya telah berbincang dengan Higuain dan keutamaannya adalah untuk kembali mendapatkan sentuhan terbaiknya," tambahnya.