"Sambil lewa punca permohonan ditolak," itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Jeffrey Low, yang tidak menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 100 peratus berhubung kegagalan Kedah beraksi dalam saingan Piala AFC, tahun depan.

Gagal menyembunyikan perasaan kecewa, Jeffrey bagaimanapun tidak mahu menyalahkan sebelah pihak berhubung isu Kedah yang gagal mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sekaligus menafikan penyertaan mereka dalam saingan Piala AFC tahun depan.

Melihat kepada situasi membabitkan KFA dan FAM, badan induk itu sendiri sudah berlembut dengan memberikan tarikh baru untuk rayuan selepas Kedah gagal menyediakan dokumen lengkap seperti yang diharapkan.

"Sepatutnya kami telah menyempurnakan prosedur yang ditetapkan oleh FAM tetapi ia telah dilengahkan. Jadi, penyertaan Kedah dalam saingan AFC musim depan dibatalkan," kata Jeffrey.

Isu tersebut yang diurus oleh Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, gagal memuaskan hati pengerusi badan rayuan pelesenan kelab FAM, Dr Wirdawati Mohd Radzi, yang turut memutuskan KFA melengah-lengahkan isu itu hingga ke tarikh akhir 16 Oktober lalu selepas diberi peluang kedua.