Pengarah Kesukanan Salzburg, Christoph Freund, mengesahkan Liverpool mengadakan perbincangan untuk menandatangani pemain tengah pasukannya, Takumi Minamino.

Isnin lalu, skuad kendalian Jurgen Klopp itu dikhabarkan bersedia untuk membawa pemain berusia 24 tahun itu ke Anfield, Januari ini selepas tertarik dengan prestasinya dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Minamino dikatakan mempunyai klausa pelepasan bernilai £7.25 juta (RM40.47 juta) dan keinginan seteru lain untuk mendapatkan pemain itu membuatkan Liverpool mula mengorak langkah.

Bercakap mengenai khabar angin itu, Freund berkata: "Saya boleh mengesahkan bahawa baru-baru ini memang terdapat perbincangan dengan Liverpool. Ia satu penghormatan apabila kelab seperti itu berminat dengan pemain kami."

Pemain kebangsaan Jepun itu telah menghasilkan sembilan gol dan 11 bantuan jaringan daripada 22 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Dia menjaringkan gol ketika Liverpool meraih kemenangan 4-3 di Anfield, Oktober lalu dan menjadi ancaman dalam babak pertama di Austria di mana skuad The Reds itu menang 2-0 untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16.

Manchester United dikatakan turut berminat untuk memiliki pemain sayap itu selain Juventus, AS Roma, Borussia Dortmund dan RB Leipzig.