SAGA : Kota Kinabalu tekad akhiri penantian 'ibu segala pingat'

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 303
SAGA : Kota Kinabalu tekad akhiri penantian 'ibu segala pingat'
Skuad bola sepak Kota Kinabau bertekad mengakhiri penantian untuk memenangi 'ibu segala pingat' apabila turun menentang Kinabatangan dalam aksi final acara berkenaan di Kompleks Sukan Sandakan, esok.

Pengendalinya, Roslan Wasli, berkata pasukan yang mula dibentuk sebelum kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) itu telah mencatat kejayaan menjulang Piala Ketua Menteri Sabah, Oktober lalu, dan kini sasaran mereka adalah untuk memenangi pingat emas SAGA buat kali pertama.

"Persiapan kami berjalan lancar, kesemua pemain telah bersedia, namun kami jangkakan aksi final akan sengit, kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menang.

"Bagi pasukan Kota Kinabalu, sudah pasti kami mahu memenanginya. Kami akan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui di Sandakan, hari ini.

Kota Kinabalu mara ke final selepas menewaskan Tuaran 2-0 dalam aksi separuh akhir manakala Kinabatangan turut menang 2-0 ke atas Nabawan.

Sementara itu, bagi acara bola sepak wanita, juara bertahan, Tenom, bakal dicabar Penampang dalam final yang juga berlangsung esok.

Bagi Tenom, mereka yakin mampu mempertahankan kejuaraan yang dicapai dalam SAGA 2015 di Tawau.

"Kami yakin mampu mengatasi Penampang berdasarkan beberapa perkiraan, namun pada akhirnya ia terpulang kepada prestasi pemain di dalam padang nanti," kata ketua jurulatih Tenom, Oktabianus Ansikit.

Dalam pada itu, pengendali Penampang, Azman Abidin, pula berharap mereka mampu mencipta sejarah dalam penyertaan pertama mereka dalam kejohanan peringkat negeri itu.

"Persiapan kami berjalan lancar, ada beberapa pemain mengalami sedikit kecederaan dan saya berharap mereka akan cergas sepenuhnya dalam final. Kami sudah bersedia mengejutkan Tenom," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen