Pemain sayap kiri kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid, yakin sebahagian besar pemain muda
dalam skuad negara bersedia untuk menyahut cabaran jika diberi ruang untuk beraksi dalam
pertemuan dengan Korea Utara bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019, esok.


Safawi adalah antara tonggak paling menyerlah dalam pasukan dalam aksi Jumaat lalu selepas
menjadi penjaring gol tunggal negara.

Dia mahu memulihkan kembali maruah negara selepas dimalukan 1-4 dalam pertemuan itu sambil menyifatkan peranan selaku penyerang atau di bahagian sayap adalah posisi yang
sesuai buatnya.

Safawi juga menambah majoriti pemain muda yang lain juga mahu beraksi seandainya jurulatih,
Nelo Vingada, sedia memberikan kepercayaan.

“Itu hak jurulatih. Saya rasa jika pemain muda diberi peluang, termasuk saya sendiri, kami akan
memberikan aksi yang terbaik.

“Jika diletakkan di bahagian serangan, itu tidak menjadi masalah buat saya,” katanya.

Jika skuad negara mahu mendapatkan keputusan terpuji, Safawi tidak menafikan mereka perlu
segera bangkit dan memperbaiki beberapa kelemahan, terutama dalam menangani corak
tekanan tinggi yang diberikan Korea Utara sehingga membuatkan skuad negara seperti
kehilangan arah sepanjang 90 minit permainan.

“Kami banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan lawan menjaringkan gol.

“Jika kami dapat mengawal tekanan tinggi daripada Korea, kami boleh mengelakkan kekalahan
besar,” tambahnya.