Rakan senegara, Luis Figo, berkata kehadiran Cristiano Ronaldo di Juventus secara tidak langsung meningkatkan peluang mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL).

Juve tidak meraih kejayaan di pentas Eropah sejak menewaskan Ajax dalam final 1996 menerusi penentuan sepakan penalti tetapi mara ke final dalam empat edisi sebelum ini.

Real Madrid –- bersama Ronaldo -- dan Barcelona telah menafikan peluang Juve bergelar juara tetapi legenda Portugal, Figo, percaya tuah Juve mula berubah selepas kehadiran rakan senegaranya itu.

"Sejak kebelakangan ini, The Bianconeri telah mara ke final UCL tanpa Ronaldo dan tahun ini, peluang mereka meningkat walaupun saingan bola sepak merupakan sesuatu yang sukar untuk djangka," kata Figo.

"Sememangnya Juventus kini memiliki lebih banyak pilihan. Ronaldo menjamin kualiti dan jaringan kerana dia seorang pemenang, salah seorang pemain terbaik dunia.

"Saya berharap pengalamannya di Itali akan digunakan dengan sebaik mungkin."

Bagaimanapun, jika diberikan peluang beraksi di antara dua Ronaldo yang pernah menyarung jersi Los Blancos, beliau memilih pemain kelahiran Brazil itu sebagai penyerang utama.

"Saya berasakan Ronaldo (Brazil) adalah pilihan nombor satu untuk meledak jaringan tetapi kedua-duanya menjamin jaringan

"Perkara penting adalah meletakkan mereka dalam kedudukan untuk menjaringkan gol, mereka akan menyudahkannya."

Sejak beraksi dalam Serie A musim ini, Ronaldo telah menjaringkan tujuh gol dalam 10 penampilan.