Bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Gaizka Mendieta, berpendapat bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, tidak lagi mampu untuk menggelecek lima pemain lawan sebelum menjaringkan gol, namun memuji bagaimana ketua pasukan Portugal itu menyesuaikan diri dengan situasi baru tersebut.

Ronaldo, 31, banyak meledakkan gol sensasi pada usia muda, namun kebanyakan gol yang disumbatnya kebelakangan ini lebih kepada di dalam kotak penalti.

Mendieta percaya ketika ini Ronaldo berada di tahap terbaik untuk mencuri peluang di dalam kotak penalti selain menyanjung tinggi rekod hebat jaringannya.

"Cristiano menunjukkan dia sudah tidak lagi mampu memungut bola di kawasan tengah padang, menggelecek lima pemain lalu menjaringkan gol," kata Mendieta menerusi laporan AS.

"Posisinya mengalami sedikit perubahan dan dia sedar jangkaan rakan sepasukannya terhadap posisinya.

"Dia kini lebih kepada menjadi penyudah. Statistiknya begitu mengagumkan. Dia telah menyumbat 50 gol setahun dalam tempoh empat musim ini."

Ronaldo telah menghasilkan tujuh gol dalam 12 perlawanan untuk Real Madrid musim ini.