Cristiano Ronaldo berkongsi berita kurang enak buat pemain pertahanan apabila mengisytiharkan bahawa dia tidak berhasrat untuk bersara dalam masa terdekat.

Bintang Real Madrid itu kerap menghantui pemain pertahanan di England dan Sepanyol sepanjang kerjayanya di samping muncul penjaring terbanyak dalam saingan pentas tertinggi Eropah, Liga Juara-Juara.

Selepas menjaringkan 118 gol dalam 291 penampilan bersama Manchester United, pemain antarabangsa Portugal itu berjaya merekodkan jumlah jaringan 367 gol dalam 354 perlawanan di ibu negara Sepanyol itu.

Kegemilangan kerjayanya telah membawa kepada empat gelaran Liga Perdana Inggeris, satu mahkota La Liga dan tiga kejayaan Liga Juara-Juara, selain menambah koleksi Kejohanan Eropah bersama Portugal pada musim panas yang lalu.

Dia, bagaimanapun, terus menunjukkan semangat tingginya untuk terus mencipta kejayaan apabila mengumumkan dia merancang untuk beraksi selama dekad lagi.

"Hidup bukan semata-mata hanya kerana bola sepak," kata pemain berusia 31 tahun itu pada majlis perasmian hotel barunya di Lisbon.

"Walaupun bola sepak adalah semangat utama saya, saya perlu mula memikirkan masa depan.

"Saya tidak mempunyai tempoh yang lama lagi, lebih kurang 10 tahun. Jadi, saya perlu melihat kepada masa depan."