Cristiano Ronaldo telah menyamai rekod Gerd Muller dan Robbie Keane dengan 68 gol di pentas antarabangsa bersama pasukan Eropah susulan meledak dua gol buat Portugal dalam kemenangan 4-1 ke atas Latvia pada Ahad.

Kapten Portugal itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan voli yang cantik, sekaligus membawa rekod jaringannya kepada tujuh gol selepas tiga perlawanan.

Pemain bintang Real Madrid itu kini menduduki tempat keempat -- bersama-sama Gerd Muller (Jerman) dan Robbie Keane (Ireland) -- dalam carta penjaring di Eropah.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang muncul selaku penjaring terbanyak di pentas antarabangsa berbanding pemain yang masih aktif -- 12 gol melebihi Lionel Messi -- kini hanya ketinggalan di belakang Ferenc Puskas (84), Sandor Kocsis (75) dan Miroslav Klose (71) dalam sejarah bola sepak Eropah.

Bagaimanapun, Ronaldo masih jauh daripada mengecapi rekod penjaring terbanyak di dunia. Rekod itu dipegang pemain legenda Iran, Ali Daei, yang telah meledak 109 gol dalam 149 penampilan.